
Penduduk Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Sungai Petani merupakan keturunan Dahing Perahi, salah seorang daripada "Bugis 5 bersaudara" yang berasal dari Makassar, Sulawesi, Indonesia. Bugis 5 bersaudara terkenal sebagai orang bangsawan yang berjaya mempengaruhi para Sultan Johor, Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan pada abad ke 18. Selain berperanan sebagai penjaga kepada harta warisan Daing Perahi, Penduduk di sini juga masih mengamalkan budaya tradisi mereka seperti seni tarian Maadppa dan seni silat Bugis Harimau Merah Bang Senggara.

Rumah-rumah tradisional di kampung sememangnya mempunyai rekabentuk dan ciri yang unik. Hasil ukiran tangan jelas kelihatan menghiasi sudut-sudut tertentu rumah agar ciri warisan kemelayuannya tetap terserlah tidak kira di mana rumah itu berada.Setiap negeri juga turut mempunyai identiti rekabentuk rumah kampung tradisionalnya tersendiri yang berasaskan adat dan budaya setempat. Contohnya Negeri Sembilan, struktur atapnya atap dipengaruhi unsur minangkabau, manakala Melaka binaan tangga batunya lebih unik di samping mempunyai bumbung atap yang panjang.Tiang-tiang rumah di Terengganu pula lebih tinggi binaannya.

Selain Malaysia, Brunei dan Indonesia juga menggunakan perkataan "kampung" bagi merujuk kawasan petempatan luar bandar. Selain "kampung" Indonesia juga menggunakan perkataan "desa" dan "kelurahan".

Kampung Sungai Pasu di bawah Majlis Daerah Raub turut didiami Orang Asli suku Che Wong yang mengamalkan cara hidup separa moden.

Sejak memulakan operasi inap desa pada 1992, terdapat 22 buah rumah yang terlibat menyediakan pakej inap desa sekali gus memberi pengalaman kehidupan desa sebenar di Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang. Melalui pakej ini, pelancong akan disajikan dengan gaya hidup kampung tradisional bersama keluarga angkat dalam suasana damai dan udara yang bersih lagi menyegarkan seperti bermain permainan tradisional, terlibat persembahan tarian dan merasai hidangan masakan tradisional Pahang.

Terdapat 12 buah kampung di Malaysia yang berkongsi nama yang sama iaitu nama "Kampung Raja".

Nira kelapa pandan yang dihasilkan di Kampung Bukit, Hantu, Ulu Melaka, Langkawi mempunyai keenakan dan pelbagai khasiat kesihatan yang tersendiri. Jika anda berkunjung ke kampung ini, anda boleh menikmati keenakan minuman nira yang segar di samping melihat sendiri cara-cara nira dihasilkan serta dapat meninjau suasana keindahan di ladang tersebut.

Terdapat sebuah resort yang unik di Kampung Janda Baik di mana ia mempunyai taman istirehat, dusun buah-buahan, kolam-kolam ikan dan sungai yang berkonsepkan gabungan tradisional dan kontemporari. Resort yang diberi nama Suria Hill Country House ini terletak hanya 45km di utara Kuala Lumpur atau sejam perjalanan menggunakan kenderaan melalui lebuhraya Karak.

Kampung Sekolah, Majlis Daerah Lenggong mempunyai homestay yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Homestay yang dikenali dengan nama homestay Kampung Beng ini merupakan sebuah homestay gabungan beberapa buah kampung iaitu Kampung Durian Lubuk, Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Batu Ring. Selain dari keunikan reka bentuk rumah tradisional yang dikekalkan, makanan yang disajikan turut istimewa di sini iaitu ikan tilapia bakar air kerabu, gulai kemahang serta ikan pekasam bernasikan nasi daun bemban. Pengunjung juga boleh menikmati panorama keindahan alam sepanjang menyusuri sungai di perkampungan homestay ini.

Menurut portal rasmi eBanjir, tahun 2011 menyaksikan jajahan Tumpat mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 175 orang membabitkan 40 keluarga di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2. Mangsa terbabit ialah dari kampung Atas Kok, kampung Simpangan, Kampung Bendang Pak Yong dan kampung Pulau Ular.
Sumber : www.bharian.com.my 30/11/2011

Homestay Kampung Seri Paya di daftarkan pada 2009 di Kulai Jaya telah menjanjikan 1001 suasana kampung yang mendamaikan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk setiap pengunjung. Ia menawarkan kira-kira 29 rumah inap desa selain tinggal bersama keluarga angkat terdiri daripada kaum Melayu, Jawa, Bugis dan Banjar.
Pengunjung bersama keluarga angkat juga boleh menikmati hidangan yang cukup popular di Homestay Kampung Seri Paya iaitu nasi ambeng.
Sumber :harianmetro 22/12/2011/khamis

Homestay Kampung Raga yang terletak 1.5 kilometer daripada Pekan Yan. Biasanya dipenuhi dengan pelbagai jenis buah-buah seperti rambutan, salak, langsat, rambai duku, manggis dan durian pada bulan Jun dan Ogos.
Sumber :Newstraitstimes 14/12/2011/khamis

Kampung Jeruju yang terletak 25 kilometer dari Alor Setar, mempunyai homestay yang mengendalikan program tradisional untuk pengunjung termasuk pertunjukan kebudayaan dan permainan tradisional.
Sumber :Newstraitstimes 14/12/2011/khamis

Kira-kira 17 kilometer daripada Alor Setar, para pelancong boleh menikmati aktiviti luar seperti memancing ikan air tawar dengan menggunakan serkap, belat, bubu dan taut di homestay Kampung Pulau Pisang.
Sumber :Newstraitstimes 14/12/2011/khamis

Dengan menaiki Melaka Cruise, iaitu sejenis perkhidmatan bot yang membawa pengunjung menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah hingga ke Muara Sungai Melaka dan kembali semula ke Taman Rempah, pengunjung dapat melihat kampung melayu yang sudah lama wujud sejak tahun 1920-an iaitu kampung Morten. Masih mengekalkan reka bentuk tradisional, Kampung Morten dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Tanah yang bertanggungjawab serta dihormati masyarakat dahulu iaitu J F Morten.
Menurut sejarah tempatan, lelaki di kampung itu bekerja sebagai 'Menadirs' iaitu pengusaha perahu kecil yang dipanggil 'Nadir' bagi tujuan mengangkut barang dari kapal dan tongkang sementara wanita pula meraut pucuk nipah untuk dijadikan rokok. Kini, Kampung Morten dikenali Muzium Hidup apabila kerajaan negeri dan penduduk kampung berpakat untuk memelihara tradisi, cara hidup serta seni binanya yang memukau.
Sumber :harianmetro 8/12/2011

Fakta yang perlu anda tahu :-
100 peratus kayu
Kampung Seberang Jertih mempunyai sebuah masjid yang dibina 100 peratus kayu dan digelar Masjid Kayu Seberang Jertih. Corak ukiran awan larat dengan motif pelbagai jenis bunga pada struktur masjid ini misalnya, mengumpan mata terutama peminat seni khat melayu.